Apr 17, 2011

Sejarah Undang Luak Negeri Sembilan

Negeri Sembilan kini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu yang mengamalkan adat pepatih dan yang tidak mengamalkan adat pepatih. Bahagian yang tidak mengamalkan adat pepatih terdiri daripada sebahagian besar daerah Port Dickson, iaitu meliputi kawasan Linggi, Lukut dan kawasan pingir pantai Selat Melaka. Wilayah Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pula terdiri daripada daerah Seremban, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

Di samping perbezaan sistem adat di sebahagian besar daerah Port Dickson dan daerah-daerah lain di Negeri sembilan, terdapat juga kelainan sistem adat dalam kalangan luak tradisi adat perpatih. Berdasarkan sistem politik tradisi wilayah adat perpatih, Negeri Sembilan kini dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu:

a) Wilayah Luak Berundang
b) Wilayah Luak Tanah Mengandung
c) Wilayah Luak Tampin

Wilayah adat yang diperintah Undang atau Penghulu Luak Adat yang ada ialah Sungai Ujong, Jelebu, Rembau, Johol, Inas, Jempol, Gunung Pasir, Ulu Muar, Terachi dan Naning (Melaka). Di Negeri Sembilan terdapat dua jenis luak adat, iaitu Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung. Tampin juga dianggap sebagai luak tetapi diperintah oleh Tunku Besar. Sebelum dijajah Inggeris, luak-luak ini bertaraf negeri dan mempunyai kuasa mutlak dengan Undang dan Penghulu menjadi pemimpin.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku atau keluarga seperti suku Biduanda (Dondo), Batu Hampar (Tompar), Paya Kumbuh (Payo Kumboh), Mungkal Tiga Nenek, Seri Melenggeng (Somolenggang), Seri Lemak (Solomak), Batu Belang, Tnah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan Tiga Batu.

Antara 12 suku itu, suku Biduanda ialah suku yang mempunyai kedudukan yang istimewa di Negeri Sembilan. Suku ini dianggap mempunyai hak menyandang pusaka Undang luak dan dianggap sebagai suku asal orang Negeri Sembilan. Suku lain pula merupakan suku-suku pendatang dari Minangkabau (Sumatera Barat). Perbezaan ini mempunyai hubungan yang sangat erat dengan asal orang Minangkabau yang datang ke Negeri Sembilan, iaitu daerah Batu Hampar, Mungkal, Paya Kumbuh, dan Tiga Nenek. Setiap suku mempunyai ketua masing-masing yang kemudiannya dikenali dengan gelaran Lembaga. Selanjutnya suku-suku tersebut terbahgi kepada beberapa suku lagi. Walaupun sedikit perbezaan nama-nama suku dengan Minangkabau (Bodi, Caniago, Koto dan Piliang), namun pada dasarnya suku-suku ini tetap menjalankan adat perpatih.

No comments:

Post a Comment